Saturday 29 December 2012

Individual Assignment - Profile of Entrepreneur By Popular Products

KARTUN LAT

Usahawan
Tarikh Lahir
Mohammad Nor Khalid
5 Mac 1951
Kota Bharu, Perak, Malaysia
Warganegara
Malaysia
Bangsa
Melayu
Pekerjaan
Kartunis
Tahun aktif
Sejak 1974
Hasil Karya
The Kampung Boy (1979)
Scenes of Malaysian Life (1974)
Keluarga Si Mamat (1968–1994)
Idola
Rejabhad
Agama
Islam
Adik-beradik
Mamat Khalid (adik)
Laman web

Datuk Mohammad Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai Lat, adalah seorang kartunis Malaysia. Pemenang Hadiah Kebudayaan Asia Fukuoka pada tahun 2002 ini, telah berjaya menerbitkan lebih daripada 20 jilid kartun sejak berusia 13 tahun. Kebanyakan karya-karya beliau menggambarkan keadaan sosial dan suasana politik Malaysia secara lucu tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Karya Lat yang paling terkenal ialah The Kampung Boy yang diterbitkan di beberapa negara di serata dunia.

Pada tahun 1994, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mengurniakan gelaran Datuk kepada Lat sebagai pengiktirafan kepada jasa kartunis ini dalam membantu memupuk persefahaman sosial dan keharmonian menerusi kartun-kartunnya.
Sebagai anak kelahiran kampung, Lat banyak menghabiskan zaman mudanya di luar bandar sebelum berpindah ke bandar sewaktu berusia 11 tahun. Ketika di zaman persekolahan, beliau menambah pendapatan keluarganya dengan menyumbang kartun kepada akhbar dan majalah. Beliau hanya berumur 13 tahun ketika menerbitkan komik pertamanya, Tiga Sekawan.

Setelah gagal mendapat keputusan yang memuaskan untuk melanjutkan pelajarannya selepas sekolah menengah, Lat menjadi seorang wartawan akhbar. Pada tahun 1974, beliau bertukar kerjaya menjadi kartunis editorial. Karya-karyanya yang mencerminkan pandangan dirinya terhadap hal-ehwal Malaysia dan dunia, sering disiarkan dalam akhbar kebangsaan seperti New Straits Times dan Berita Minggu. Beliau mengadaptasikan pengalaman lampaunya dalam bentuk autobiografi, iaitu The Kampung Boy and Town Boy.

Lat memiliki cara ilustrasi tersendiri dimana coretannya menggunakan dakwat tebal. Cara beliau melukis watak Melayu dicirikan dengan hidung bergelung tiga. Lat mendapat bimbingan daripada idolanya iaitu Raja Hamzah atau lebih dikenali sebagai Rejabhad, seorang lagi kartunis tempatan. Selain menulis dan menerbitkan kartun, Lat turut menceburi bidang animasi, perdagangan dan membuat tema yang menampilkan karya-karya ciptaannya. Nama dan karya-karyanya turut mendapat pengiktirafan antarabangsa; kartunis luar negara seperti Matt Groening dan Sergio Aragonés mengagumi hasil seninya, malah ada negara yang mengundang Lat untuk melawat negara mereka agar Lat membuat pendedahan negara tersebut di mata dunia menerusi catatan pengalamannya di negara orang dalam bentuk kartun. Selepas 27 tahun bekerja di Kuala Lumpur, Lat berpindah balik ke Ipoh untuk menjalani kehidupan separa bersara.

Kehidupan awal
Lat membesar di sebuah kampung, dimana rumah-rumah kayu di bina di atas tiang dan dikelilingi suasana kampung
Mohammad Nor Khalid lahir pada 5 Mac 1951 di sebuah kampung di Kota Baharu, Perak, Malaysia. Bapanya seorang kerani di Tentera Darat Malaysia, manakala ibunya seorang suri rumah. Muka Khalid sedikit bulat, maka keluarga beliau memberi nama timangan "Bulat" semasa kecil, tetapi kawan-kawan memanggilnya dengan singkatan "Lat". Lat merupakan anak sulung di dalam keluarga. Beliau gemar bermain di hutan, dusun dan lombong timah bersama kawan-kawannya. Selain itu beliau juga gemar menconteng serta menghabiskan masa lapang dengan membaca komik dan menonton televisyen; Lat mengidolakan kartunis tempatan Raja Hamzah yang terkenal kerana kisah-kisah kembara perwira Melayu.

Pendidikan formal Lat bermula di sebuah sekolah kampung yang mengajar dalam Bahasa Melayu dan tidak mengharapkan pencapaian akademik yang tinggi. Anak kampung ini sering bertukar sekolah disebabkan pekerjaan bapanya sebagai tentera, sehinggalah pada tahun 1960 mereka terus menetap di tempat kelahirannya. Setahun kemudian, Lat lulus dalam Peperiksaan Special Malay Class dan layak untuk memasuki Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan di Ipoh dimana bahasa pengantarnya adalah Bahasa Inggeris. Lat kemudiannya menyambung pelajaran di Sekolah Anderson, Perak.

Sewaktu berusia 9 tahun, Lat melukis dan menjual komik kepada rakan-rakannya untuk menambah pendapatan keluarga. Empat tahun kemudian, iaitu pada tahun 1964, kartunis muda ini berjaya menerbitkan karya sulungnya berjudul Majallah Filem yang menyiarkan komik lukisan beliau, dan dibayar dalam bentuk tiket wayang. Buku komik terbitan sulung Lat, Tiga Sekawan Menangkap Penchuri, diterbitkan oleh Sinaran Brothers pada tahun yang sama. Syarikat itu menerima bahan-bahan yang diserahkan oleh Lat dengan bayaran RM 25 untuk satu cerita. Pada tahun 1968, sewaktu berusia 17 tahun, Lat mula mengarang siri komik Keluarga Si Mamat untuk akhbar Berita Minggu (edisi Ahad Berita Harian). Siri tersebut tersiar dalam akhbar itu setiap minggu selama 26 tahun. Walaupun masih di bangku sekolah, Lat sudah meraih pendapatan $100 sebulan hasil dari karyanya, satu jumlah yang lumayan ketika itu. 
 
Persekolahan Lat tamat  di Tingkatan 5 dengan mendapat Gred 3 dalam peperiksaan Senior Cambridge dimana gred tersebut tidak melayakkan beliau untuk ke Tingkatan 6. Sebagai itu Lat mula mencari pekerjaan dan meletakkan harapan tinggi untuk menjadi seorang pengilustrasi.

Dari wartawan menjadi kartunis

Selaku wartawan, Lat merayau-rayau di jalan-jalan di ibu kota pada 1970-an. Suasana di bandar jauh berbeza dengan suasana di kampung ketika itu.
Setelah berpindah ke ibu kota Kuala Lumpur, Lat memohon jawatan kartunis di Berita Harian. Beliau dimaklumkan bahawa kekosongannya tiada, tetapi penyunting akhbar itu, Abdul Samad Ismail, menawarkannya jawatan wartawan jenayah. Lat menerimanya kerana terpaksa: "Ini ialah persoalan ikhtiar hidup. Saya terpaksa mencari rezeki untuk membantu keluarga saya." Ketika itu, bapa Lat jatuh sakit dan tidak dapat bekerja, maka terpaksalah Lat bekerja untuk nafkah keluarga. Selain menerima kerja itu, beliau terus menyumbang kartun kepada terbitan-terbitan lain. Lat kemudian dipindahkan ke induk terbitan Berita Minggu, iaitu New Straits Times. Kerja melapor aktiviti jenayah memberi peluang kepada Lat memerhati dan berinteraksi dengan berbagai ragam warga kota yang dijadikan ilham dan bahan baru untuk kartun-kartun akan datang di samping meningkatkan pengetahuan dunianya.

Lat merasakan kerjayanya sebagai wartawan tidak begitu sesuai kerana dirinya tidak memiliki sifat ingin tahu yang diperlukan untuk berjaya sebagai wartawan jenayah. Lebih-lebih lagi, huraian beliau terhadap kesan jenayah yang "terperinci luar biasa dan mengerikan" acapkali terpaksa dilembutkan oleh orang-orang atasannya. Oleh itu, Lat merasakan dirinya gagal menjalankan tugas sehingga beliau meletak jawatan. Samad menolak surat perletakan jawatan tersebut kerana percaya bahawa Lat ada masa depan yang cerah dengan akhbarnya.

Nasib Lat berubah pada 10 Februari 1974, apabila majalah Asia Magazine yang bertapak di Hong Kong menyiarkan kartun-kartunnya mengenai Bersunat. Kartun-kartun itu mengagumkan Tan Sri Lee Siew Yee, ketua penyunting New Straits Times, yang melihat gambaran Lat terhadap upacara itu sebagai kelakar tetapi sensitif. Lee menyatakan bahawa akhbarnya sepatutnya mengambil seniman itu bekerja di sini. Beliau terkesima apabila diberitahu bahawa Lat sudah pun bekerja dalam New Straits Times. Lat dipanggil ke pejabat Lee untuk berbual. Dari situlah nama Lat makin menjulang. Beliau menjadi kartunis ruangan akhbar berkenaan dimana satu jawatan dibentuk khusus untuknya oleh Samad yang ketika ini menjadi timbalan penyunting New Straits Times. Tugas pertama Lat adalah merakamkan kebudayaan Malaysia dalam siri kartun Scenes of Malaysian Life. Pihak akhbar juga menghantarnya ke London untuk belajar di Sekolah Seni St Martin selama empat bulan, di mana beliau mengenali kartun editorial dan akhbar Inggeris. Setelah pulang ke tanah air Lat mengubah Scenes of Malaysian Life menjadi siri kartun editorial.
Pendekatannya terbukti mendapat sambutan, maka pada akhir tahun 1975, beliau dilantik sebagai kartunis sepenuh masa dan bebas berkarya sepenuhnya

Lat menghasilkan kartun-kartun editorial yang menghiburkan masyarakat Malaysia tanpa henti. Pada tahun 1978, dua himpunan karyanya Lots of Lat dan Lat's Lot telah dipasarkan kepada orang ramai. Meskipun Lat sudah dikenali warga Malaysia kerana Scenes of Malaysian Life, namun setelah mengeluarkan karya seterusnya barulah beliau mendapat pengiktirafan antarabangsa. Pada tahun 1979, Berita Publishing Sendirian Berhad menerbitkan The Kampung Boy, kartun autobiografi yang dilukis oleh Lat sendiri tentang zaman mudanya. Buku ini mendapat sambutan hangat; menurut Lat sendiri, cetakan pertama sebanyak 60,000–70,000 salinan habis dijual dalam masa empat bulan selepas berada di pasaran. Para pembaca buku itu terhibur dengan gambaran kehidupan luar bandar yang “mengharukan", dipaparkan dengan "lakaran hitam putih kecoreng-corengan" dan disertakan "prosa yang ringkas tetapi penuh makna". Sehingga tahun 2009, buku ini telah dicetak sebanyak 16 kali dan diterbitkan di beberapa buah negara dalam pelbagai bahasa, termasuk Perancis, Portugis dan Jepun. Kejayaan The Kampung Boy menjulang nama Lat sebagai "kartunis paling masyhur di Malaysia.

Selepas Kampung Boy

The Kampung Boy mengimbau zaman kanak-kanak Lat seperti bermain tarik upih pinang bersama rakan-rakan sebaya.
Pada tahun 1981, Town Boy diterbitkan sebagai kesinambungan cerita The Kampung Boy. Town Boy menceritakan watak utamanya ketika zaman remaja di bandar. Dua lagi himpunan kartun editorial Lat With a Little Bit of Lat dan Lots More Lat diterbitkan, maka makin ramailah yang mengenali beliau. Pada tahun 1984, Lat meletak jawatan dari New Straits Times untuk menjadi kartunis bebas, tetapi beliau masih melukis Scenes of Malaysia Life untuk akhbar itu. Beliau menubuhkan syarikat sendirinya, Kampung Boy Sendirian Berhad, untuk menyelia produk kartun dan penerbitan bukunya. Pada tahun 2009, Kampung Boy menjalin perkongsian dengan Sanrio dan Hit Entertainment untuk projek taman tema tertutup di Malaysia yang menampilkan watak-watak Kampung Boy. Taman tema tersebut adalah Puteri Harbour Family Theme Park terletak di Nusajaya, Johor di buka pada akhir tahun 2012.

Pada tahun 1993, Lat menerbitkan filem animasi pendek berjudul Mina Smiles untuk kempen celik huruf Unesco. Langkah beliau yang seterusnya dalam bidang animasi didorong oleh pandangannya bahawa animasi Barat pada tahun 1980-an dan 1990-an membawa pengaruh negatif, maka beliau ingin menerbitkan siri animasi yang menyemai nilai-nilai murni tempatan di kalangan anak-anak Malaysia. Maka lahirnya siri televisyen Kampung Boy yang diadaptasi dari komik mahakaryanya pada tahun 1997. Siri 26 episod ini menerima pujian kerana keperincian teknik dan isi kandungannya, tetapi diulas kerana kesamaan dengan The Simpsons, serta versi Bahasa Inggeris yang tidak berciri tempatan sepenuhnya. Pada tahun 2009, Lat kembali ke persada animasi dengan filem animasi muzikal Lat's Window to the World yang ditayangkan di Dewan Filharmonik Petronas. Khidmat Lat diperlukan untuk merekabentuk animasi yang berdasarkan The Kampung Boy bagi mengiringi irama muzik Orkestra Filharmonik Malaysia. Muzik gubahan Carl Davis mengiringi visual Lat bagi menyerlahkan semangat kehidupan anak-anak kampung pada "zaman silam yang ringkas dan indah".

Pada tahun 1997, selepas 27 tahun menetap di Kuala Lumpur, Lat berpindah balik ke Ipoh bersama keluarganya. Selain mengurangkan penglibatannya dalam bidang kartun, beliau ingin mendekati kampung halamannya serta membenarkan anak-anaknya mengalami kehidupan dalam bandar atau desa; beliau berkahwin pada tahun 1977, dan mempunyai empat anak, iaitu dua perempuan dan dua lelaki. Lat mengulas bahawa membesarkan anak-anaknya membantunya menangani tekanan sebagai orang terkenal serta menyedarkannya bahawa beliau mungkin akan menyisih generasi baru warga Malaysia yang berlainan citarasanya terhadap kartun. Kerja beliau turut bantu oleh isterinya yang mengimbas kartun-kartun yang siap lalu menghantar kepada pihak akhbar di Kuala Lumpur. Lat masih melukis dengan pena dan dakwat serta mengelakkan penggunaan komputer kecuali untuk membaca e-mel. Pada tahun 2011–12, beliau berganding bahu dengan seniman-seniman lain dari seluruh dunia untuk program Civitella Ranieri Fellowship di Itali selama sebulan. Mereka digalakkan berkongsi gagasan agar dapat merangsang daya cipta masing-masing.

Gaya seni
Karya-karya Lat meliputi pelbagai genre. Portfolionya juga beraneka ragam sehingga John A. Lent, seorang cendekiawan kartun Asia, mendapati sukar untuk menggolongkan kartunis ini ke dalam mana-mana bidang. Dalam siri Keluarga Si Mamat, Lat melukis slapstik dan satira yang membincangkan pertembungan nilai-nilai tradisional dan moden, diisi oleh cerita jenaka kanak-kanak bermain. Jennifer Rodrigo Willmott, penulis untuk Reader's Digest, berkata: Watak-watak kartun Lat sentiasa terdiri daripada orang-orang keramaian—orang kampung memakai sarung bercorak petak-petak, pengurup wang berdhoti putih, kakitangan kerajaan Melayu yang memakai jaket dan juga Lat sendiri: watak yang bermuka leper dan bulat itu; hidungnya senget sedikit dari tengah; rambut keriting hitamnya yang tidak kemas; dan wajahnya yang sentiasa tersenyum menyeringai.
Muliyadi Mahamood, seorang cendekiawan komik, melihat beberapa tahap jenaka dalam karya Lat, terutamanya sedutan komik Keluarga Si Mamat ini.
Dengan menggunakan barisan watak yang besar- beraneka ragam kebudayaan dan keperibadian, Lat mampu mengadaptasi banyak lagi topik berbanding barisan watak yang kecil. Ilmuwan komik Malaysia, Muliyadi Muhamood mengulas bahawa jenaka dalam kartun-kartun Lat dibangkitkan melalui pengertian gambaran dan kata-kata; kata-kata yang terbentuk dari "dialog yang ringkas dan padat" serta mainan kata sementara "riak wajah dan tindak-tanduk" watak-wataknya membantu menonjolkan aspek lucu setiap watak. Muliyadi berhujah lagi bahawa karya-karya Lat boleh menarik pelbagai tafsiran, dimana seorang pembaca akan mentertawakan kartun Lat kerana slapstiknya, manakala seorang lagi akan merasai kelucuannya kerana kritik masyarakatnya yang halus. Sebagai contoh, Muliyadi memetik sejalur komik Keluarga Si Mamat yang diterbitkan pada tahun 1972. Ketika itu, Malaysia berdepan dengan kekurangan guru pendidikan jasmani yang berkelayakan, oleh itu tugas-tugas sebegini diserahkan kepada guru fakulti lain. Lat menggambarkan seorang guru gemuk gedempol yang menjalankan sesi pendidikan jasmani sampai rebah. Muliyadi berpendapat bahawa kartun ini boleh ditafsirkan sebagai usikan terhadap keadaan guru yang menyedihkan itu sebagai gesaan untuk mengkaji semula kurikulum yang diajar (mengubah pendidikan jasmani kepada sesi tak formal), mengulas kekurangan guru, atau lebih-lebih lagi, pembidasan kegagalan kerajaan untuk mengelakkan situasi ini daripada berlaku.

Penceritaan kartun-kartun awal Lat seperti Tiga Sekawan dan Keluarga Si Mamat, dikarang dalam bahasa Melayu.  Akan tetapi, karya-karya yang seterusnya dikarang dalam Bahasa Inggeris; Scenes of Malaysian Life hanya tersiar dalam akhbar New Straits Times yang berbahasa Inggeris. Laras bahasa Inggeris dalam karyanya mencerminkan penggunaan bahasa campuran "Malglish” yang mengandungi sedikit-sedikit perkataan Melayu dan struktur nahu yang lebih ringkas. Setelah menjayakan karya demi karya dalam Bahasa Inggeris, Lat khuatir bahawa beliau mungkin menyisihkan rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa Inggeris. Maka beliau melukis Mat Som, kisah seorang anak kampung yang berpindah ke kota untuk bekerja sebagai penulis lalu melamar seorang gadis kota yang menawan. Komik berbahasa Melayu itu disambut hangat apabila cetakan pertamanya sebanyak 30,000 salinan habis dijual dalam tempoh tiga bulan. Wartawan Far Eastern Economic Review, Suhaini Aznam mengulas bahawa kekuatan Lat ialah keupayaannya untuk menggambarkan liku-liku kehidupan seorang lelaki biasa secara satira tanpa apa jua kecenderungan yang ketara.

Gaya awal
Kemahiran seni Lat dipupuk dan diasah sendiri sejak muda lagi. Kartunis ini percaya bahawa beliau mewarisi bakat dan minatnya dari bapanya yang gemar menconteng-conteng serta dikagumi kerana sifatnya yang suka berjenaka di kampung. Lat berkata bahawa adik-adiknya juga berbakat dalam melukis, tetapi mereka semua tidak berminat untuk mengembangkan bakat mereka. Ibu bapanya menggalakkannya meraka supaya mengembangkan kemahiran seni, namun kadang-kadang bapanya menasihati supaya tidak menjadikan bidang seni lukis sebagai kerjaya. Beliau juga menerima galakan dari luar; guru sekolah rendah Lat, Moira Hew (ilham kepada salah seorang wataknya, Wanita Bercermin Mata Rama-rama), membantu memupuk bakatnya dengan acapkali memintanya supaya melukis mengenai pelajaran dalam kelas.  Ajaran Puan Hew meluaskan minda Lat supaya beliau menjadi lebih peka kepada idea-idea yang berada di luar batas kampungnya.

Gaya Seni


Perak Wedding oleh Lat: tema kehidupan sekeluarga dan perincian-perincian di kelilingnya merupakan aspek-aspek penting dalam karyanya; this was also the first of hisScenes of Malaysian Life.
Gaya seninya mendapat pengaruh awal dari Barat. Begitu juga dengan ramai kanak-kanak Malaysia pada 1960-an, Lat gemar menonton kartun Hanna-Barbera seperti The Flintstones dan The Jetsons di kaca TV serta membaca komik yang diimport dari UK seperti The Dandy dan The Beano. Beliau mengkaji dan menggunakan gaya dan tema dalam bahan-bahan tersebut dengan conteng terlebih dahulu. Selepas pengaruh luar negara dalam hasil kerjanya diperhatikan oleh seorang sahabat, Lat dipesan oleh bapanya supaya memerhati dan mencari idea dari keadaan sekelilingnya pula. Atas nasihat itu, kartunis muda itu mendekatkan dirinya dengan peristiwa setempat. Tiga Sekawan dibayangkan sebagai kisah pembasmian jenayah yang lucu dan berciri tempatan. Keluarga Si Mamat dan watak utamanya dinamakan sempena adik bongsunya, Mamat, dan kisah-kisahnya berasaskan pemerhatian Lat terhadap rakan-rakan sekampung dan sekolahnya. Kartun Bersunat mendapat ilhamnya apabila beliau ditugaskan ke sebuah hospital. Sewaktu berehat daripada menyiasat jenazah-jenazah mangsa jenayah yang dibawa masuk ke bilik mayat, Lat bertembung dengan sesi berkhatan yang dilakukan pada kanak-kanak lelaki Melayu dalam hospital itu. Beliau mendapati bahawa pengalaman kanak-kanak itu agak klinikal, tanpa ciri adat-istiadat yang menyambut upacara kedewasaannya di kampung. Maka Lat terpanggil untuk menggambarkan perbezaan antara kehidupan dalam kampung dan bandar.

Apabila Lat secara rasminya memasuki bidang kartun, beliau memang tidak asing lagi dengan pekerjaan ini. Beliau mendapat manfaat daripada bimbingan Rejabhad, seorang kartunis politik yang berpengalaman. Rejabhad diseganai ramai orang tempatan yang menggelarnya "penghulu kartunis Melayu". Setelah perasan hasil kerja Lat dalam akhbar dan majalah, beliau mula berhubungan dengan kartunis muda itu. Rejabhad menerima permintaan ibu Lat untuk menjaga anaknya yang berusia 15 tahun dalam industri kartun. Beliau sempat memberi tunjuk ajar dan mempengaruhi kebangkitan Lat sebagi kartunis. Maka Lat menyanjung tinggi pembimbing Rejabhad sebagai tokoh mitali. Mereka saling menaruh kasih sayang dan rasa kagum. 36 tahun selepas membimbing Lat, Rejabhad mengimbau kembali hubungan dengan Lat seperti berikut:

Biarpun berjauhan, namun kita tetap saling dekat di hati. Sewaktu saya berjumpa dengannya, saya berasa kelu lidah. Kerana kasih sayang yang begitu rapat, mulut sudah bisu dan tidak boleh berkata-kata. Lat berada di puncak gunung, tetapi beliau tidak lupa akan rumput di hilir gunung. Ke mana sahaja dia pergi, beliau sentiasa mengaku saya gurunya.

Rejabhad bukan tokoh tempatan pertama yang kuat mempengaruhi Lat. Raja Hamzah yang terkenal dengan komik aksi dan cerita hantunya merupakan "wira" Lat sewaktu cilik. Cerita kartun pengembaraan perwira tempatan Raja Hamzahlah yang mengilhamkan Lat supaya menjadi kartunis. Maka hasrat itu tercapai dengan Tiga Sekawan, kejayaan yang tercapai setelah berkali-kali cubaan gagal serta keazaman Lat bahawa beliau akan menjadi seorang kartunis seperti idolanya. Raja Hamzah juga menjayakan komik kehidupan rumah tangga seperti Keluarga Mat Jambul dan Dol Keropok dan Wak Tempeh. Kartun-kartun ini menguatkan rasa terpesona Lat terhadap kehidupan sekeluarga serta gelagat kanak-kanak yang banyak membantunya dalam karya-karya seterusnya. Lat berminat untuk mengkaji persekitarannya secara terperinci untuk dirakamkan dalam karya-karyanya. Keluarga Si Mamat dan The Kampung Boy menggambarkan wajah dan perilaku watak-wataknya secara tepat. Penceritaannya ditulis dalam gaya yang asli bagi orang tempatan. Oleh itu, Lat mampu membuat para pembacanya mempercayai cerita-cerita dan watak-wataknya sebagai cukup "kemelayuan".

Gaya kemudian
Setelah lawatan sambil belajar di London pada tahun 1975, karya-karya Lat menunjukkan kesan pengaruh kartunis editorial seperti Frank Dickens, Ralph Steadman, dan Gerald Scarfe. Pada tahun 1997, Ron Provencher, seorang profesor emeritus di Universiti Northern Illinois, melaporkan bahawa gaya Lat mengingatkan para informannya mengenai persada kartun Malaysia akan The Beano. Muliyadi menjelaskan bahawa "tema dunia kanak-kanak" seperti dalam The Beano dan The Dandy nyata dalam Keluarga Si Mamat. Yang lain pula mengulas bahawa seni Lat menonjol dengan sendirinya. Kartunis Singapura, percaya bahawa Lat "berupaya mencipta gaya tempatan yang mengagumkan sambil mengekalkan keaslian", manakala sejarawan komik, Isao Shimizu mendapati sungguhpun gaya lukis Lat ini "agak kasar", namun karya-karyanya "amat original" dan "penuh dengan kehidupan". Redza menilai bahawa The Beano dan The Dandy merupakan pengaruh "pembentuk awal" kepada Lat sebelum beliau menemukan gaya tersendiri. Pada tahun 1999, Lent menyatakan penilaiannya: Seni lukis Lat amat membangkitkan perasaan, umpama kehidupan sebenar, meskipun berlebihan herot-benyotnya. Watak-watak Malaysia ciptaan Lat ini dibezakan dengan perkaitan etnik mereka contohnya, watak-watak Melayu ada hidung bergelung tiga. Lukisannya bercoret tebal, dialognya penuh perasaan dalam Bahasa Inggeris mahupun Malaysia.

Lukisan pena dakwat Lat ini begitu mengagumkan Larry Gonick sehingga kartunis berbangsa Amerika itu terasa macam hendak mengkaji bahantara dalam bukunya, The Cartoon History of the Universe. Gonick cuba menggunakan bahantara tersebut seperti mana dengan berus yang biasa digunakannya, namun hasilnya tidak memuaskan. Kadang-kadang, Lat mewarnai karya-karya, misalnya dalam Kampong Boy: Yesterday and Today (1993) dengan menggunakan cat air atau pen penanda.  Menurut Lent, Redza menilai bahawa Lat telah "mengangkat bidang perkartunan kepada tahap 'kesenian visual tinggi' dengan membuat komentar sosial dan 'pembinaan landskap'". Bukan sahaja pengkritik seni itu yang memandang tinggi karya Lat. Jaafar Taib, kartunis dan penyunting majalah Gila-Gila, mendapati bahawa kartun-kartun Lat mengekalkan kelucuan dan kerelevannya sepanjang zaman. Jelasnya, sifat ini timbul dari gubahan karya Lat yang difikirkan dengan teliti yang membantu menyampaikan buah fikiran di sebalik kartun dengan jelas.

Topik sensitif
Sewaktu Lat mula melukis untuk New Straits Times, para kartunis politik tempatan mengambil jalan berlembut ketika melayan ahli-ahli politik Malaysia; rencana-rencana ahli politik itu dicipta kembali setepat-tepatnya manakala sebarang kritikan disuarakan dalam bentuk puisi yang halus. Bagaimanapun, Lat pula melampaui batas-batas itu; walaupun ahli-ahli politik tetap dilukiskan dengan rasa hormat, namun beliau membesar-besarkan sifat-sifat paras rupa dan perilaku mereka yang terkenal. Lat mengingati pada tahun 1974, beliau disuruh supaya mengubah salah satu hasil lukisannya yang memperlihatkan belakang tubuh Perdana Menteri Tun Abdul Razak. Lee enggan membenarkan kartun itu disiarkan tanpa dibuat perubahan, lalu menyoal kartunis itu "Kamu nak masuk penjarakah?!" Apapun, pada tahun 1975, satu lagi cubaan Lat membuat kartun politik mendapat kelulusan daripada Lee. Satiranya kali ini menampilkan karikatur pengganti Tun Razak, iaitu Tun Hussein Onn, menunggang seekor unta untuk berjalan kembali ke Kuala Lumpur dari Arab Saudi; apa yang melucukan adalah apabila Hussein memanggil untanya supaya perlahan sebaik sahaja membaca berita bahawa kakitangan awam bakal menerima kenaikan gaji apabila pemimpin negara itu pulang ke tanah air. 

Kartun politik terbitan sulung Lat ini merupakan ulasan yang "licik, tersirat, dan simbolik" terhadap Perdana Menteri negara.
Politik Malaysia berasa makin selesa dengan karikatur Lat; mereka sama terhibur seperti seluruh masyarakat negara. Muliyadi menyifatkan gaya Lat sebagai "licik, tersirat, dan simbolik", mengikuti bentuk-bentuk humor Malaysia yang tradisional dari segi etika dan estetika. Beliau dihormati oleh seluruh negara kerana patuh kepada tradisi dalam hasil seninya. Apabila Lat ingin membidas ahli politik, beliau menggambarkannya dalam situasi yang "luar biasa atau di luar jangkaan" kepada status atau keperibadiannya dengan menggunakan kontras untuk menjadikan karyanya lucu. Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-4, acapkali menjadi sasaran Lat sepanjang kerjaya politiknya, sehingga segala rakaman Dr. Mahathir oleh pelukis ini selama 20 tahun menjadi cukup untuk dijadikan buku himpunan setebal 146 muka surat yang bertajuk Dr Who?! (2004). Kepintaran siasah Lat bukan sahaja menyasarkan ahli politik tempatan, bahkan juga tindakan Israel di Timur Tengah dan tokoh-tokoh antarabangsa seperti pembesar utama Singapura, Lee Kwan Yew. Sungguhpun banyaknya karya-karya yang berunsur politik, namun Lat tidak menganggap dirinya sebagai kartunis politik, serta mengakui terang-terangan bahawa ada orang lain yang lebih hebat daripadanya dalam bidang kartun politik.

Lat gemar menyampaikan buah fikirannya dengan sedikit unsur antagonis. Beliau mengendahkan nasihat pembimbingnya, Rejabhad dan menunjukkan kesedarannya terhadap kepekaan masyarakat, terutama kaum, kebudayaan dan agamanya. Apabila mencipta konsep kartun, beliau menghapuskan segala yang dipercayainya sebagai berniat jahat atau tidak peka. Di Pameran Kartun Asia Keempat di Tokyo, Lat menjelaskan bahawa apabila membuat ulasan keagamaan dalam kerja-kerjanya, beliau mengulas agama Islam sahaja. Dalam hal ini, Lat memanfaatkan bakat seninya untuk mendidik anak muda mengenai agamanya. Lat mempercayai penyuntingnya untuk menyempurnakan tugas dan menggugurkan apa yang tidak boleh diterima secara sosial untuk dicetak. Dalam satu temu ramah, beliau meluahkan ketakselesaanya akan konsep penerbitan sendiri, atas pandangan bahawa pelukisan kartun yang tidak lancung dan tanpa pengawasan boleh menghasilkan kerja "sampah". Beliau lebih gemar bertegas dalam bidang-bidang yang mana beliau selesa atau cekap. Lat enggan mengubah apa-apa yang sudah dilukisnya; ada beberapa kerja kartunnya yang tidak dapat diterbitkan kerana penyunting enggan membenarkan cetakannya tanpa perubahan. Apabila perkara sebegitu terjadi, penyunting menyekat ruangan kartunnya dalam surat khabar. Akui Lat tentang kerja-kerjanya yang tidak tercetak: "Baiklah, mungkin saya melampaui batas sedikit, namun saya tak pernah mendapat susah; terus-terang, hanya sebilangan kecil kartun saya yang disekat.

Pengaruh dan pusaka
Datuk Lat disanjung tinggi di dalam dan luar negara, dipuji sebagai "wira budaya", "suara hati negara dalam bentuk kartun" dan "ikon Malaysia". Institut Akhbar Malaysia berpendapat bahawa Lat "sendiri telah menjadi sebuah institusi" apabila dihadiahkan Anugerah Khas Juri kepadanya pada tahun 2005. Para seniman kartun di rantau Asia Tenggara seperti Muliyadi, Chua, dan Rejabhad, turut menyanjung tinggi Lat, di samping pengkarya-pengkarya dari luar negara seperti Matt Groening dan Eddie Campbell dari Amerika Utara. Groening, pencipta The Simpsons, mengisikan testimonial untuk The Kampung Boy versi Amerika Syarikat, yang mana beliau memuji maha karya Lat sebagai "salah sebuah buku kartun terunggul sepanjang zaman". Sergio Aragonés, pencipta Groo the Wanderer, seorang lagi peminat Lat dari Amerika. Selepas mengunjungi Malaysia pada tahun 1987, Aragonés memanfaatkan pengalamannya untuk mereka cerita seorang pemedang cemerkap bernama Groo bertualang di pulau Felicidad yang latar masyarakat dan alamnya berasaskan persekitaran di Malaysia. Aragonés melukis hidung pribumi pulau itu mengikut gaya tersendiri Lat, di samping menamakan seorang watak pribumi utama—seorang kanak-kanak lelaki yang suka ingin tahu—sempena kartunis Malaysia ini. Lent (2003) dan Shimizu (1996) berpendapat bahawa industri komik Malaysia mulai berkembang pesat setelah Lat menjadi kartunis sepenuh masa pada tahun 1974. Lent berhujah bahawa profesion kartunis makin dihormati di Malaysia apabila Lat menerima gelaran Datuk pada tahun 1994. Darjah kebesaran dari Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ini merupakan penghormatan tertinggi negara kepada pengaruh seniman kartun ini terhadap rakyat jelata serta jasanya kepada negara. Sebelum kebangkitan Lat, kartunis Malaysia kurang disanjungi oleh orang awam walaupun karya-karya Raja Hamzah dan Rejabhad mendapat perhatian ramai. Kejayaan demi kejayaan Lat membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa mereka mampu berkembang dan berjaya sebagai kartunis, serta mengilhamkan mereka supaya memandang barat profesion kartun sebagai kerjaya yang berpotensi. Beberapa artis muda meniru gaya Lat dengan harapan meraih ganjaran seumpama beliau. Zambri Abu dan Rasyid Asmawi meniru gaya hidung bergelung tiga dan gaya rambut watak-watak Lat, manakala yang lain seperti Reggie Lee dan Nan, menerapkan "pendekatan tema dan gaya terperinci" yang diamalkan oleh Lat dalam karya masing-masing. Muliyadi menggelar Lat sebagai "Bapa Kartun Malaysia Kontemporari" kerana menjadi kartunis Malaysia pertama yang mencapai pengiktirafan dunia serta membantu menaikkan martabat industri perkartunan negara.

Kesan pengaruh karya Lat tidak terhad kepada sektor kesenian. Sebelum beliau bangkit dalam persada seni, para kartunis Malaysia menyahut seruan demi perpaduan negara. Watak-watak dalam kartun ketika itu selalunya hanya terdiri daripada satu kaum, lebih-lebih lagi anasir tumpuan negatif pada kelemahan kaum-kaum tertentu meresap ke dalam arus perdana. Kartun-kartun sebegini tidak membantu mengurangkan persengketaan sesama kaum yang berbahang ketika itu. Situasi ini memuncak dengan rusuhan kaum pada tahun 1969, dan selama beberapa tahun selepas itu, hubungan sesama kaum agak dingin dan goyah. Menurut Redza, Lat menenangkan ketegangan perkauman negara dengan karyanya. Dengan melukis masyarakat pelbagai kaum dalam babak beramai-ramai, tidak lupa interaksi sesama mereka, Lat mencerminkan masyarakat Malaysia dengan cara yang lembut dan tanpa kecenderungan. Redza berhujah bahawa, walaupun ada yang mendakwa bahawa Lat terpaksa memainkan peranan pengantara sesama kaum dan budaya (kerana beliau menyertai "akhbar bahasa Inggeris terulung di negara yang dibaca oleh masyarakat berbilang kaum"), namun beliau memiliki sifat-sifat yang diperlukan, iaitu pengetahuan intim tentang pelbagai kaum dan budaya, untuk berjaya dalam tugas ini. Para peminat Lat mengecam ciri utama karyanya sebagai "humor yang selamat dan menarik yang melahirkan rasa seronok dan nostalgia semua orang dengan menarik perhatian sifat baik mereka daripada mengejek sifat buruk mereka". Formulanya ternyata berjaya; lebih 850,000 salinan buku-bukunya terjual dalam 12 tahun selepas himpunan pertama kartun editorialnya mulai dijual pada tahun 1977. Keselesaan yang dicari-cari oleh pembaca dalam karya-karyanya begitu mendalam sehingga pada September 2008, Lat menyimpang dari gaya kebiasaannya untuk melukis satu kartun tetang main-main politik perkauman dalam negara, sehingga mengejutkan wartawan Kalimullah Hassan, yang merasai kepiluan yang mendalam dalam lukisan sekumpulan rakyat Malaysia berhimpit-himpit di bawah payung untuk berteduh dari dihujani ungkapan xenofobia.

AirAsia menghiasi dua buah kapal terbangnya dengan karya-karya Lat sebagai penghormatan.
Karya-karya Lat telah digunakan dalam kajian akademik berbagai bidangnya, baik undang-undang, perancangan bandar, mahupun pemakanan. Para ahli akademik menggunakan hasil lukisannya untuk menggambarkan hujah mereka secara humor tetapi mendidik. Pegawai kedutaan negara lain pernah meminta Lat supaya membuat wawasan terhadap budaya masyarakat masing-masing, dengan mengundangnya menjelajahi negara mereka dengan harapan agar beliau dapat merakamkan pengalamannya dalam bentuk kartun untuk dikongsikan seluruh dunia. Negara pertama yang berbuat demikian ialah Amerika Syarikat, diikuti oleh Australia, Jerman, Jepun dan lain-lain. Pada tahun 1998, Lat menjadi kartunis pertama yang menjadi Eisenhower Fellow dan sekali lagi mengunjungi AS; program penyelidikan ini merupakan kajian hubungan sesama kaum dalam masyarakat AS. Pada tahun 2007, Universiti Kebangsaan Malaysia mengurniakan Kedoktoran Kehormat dalam Antropologi dan Sosiologi kepada beliau. Karya Lat diiktiraf sebagai catatan visual tentang sejarah kebudayaan Malaysia; pada tahun 2002, beliau dianugerahkan Hadiah Kebudayaan Asia Fukuoka kerana memelihara kebudayaan Melayu luar bandar dalam karya-karyanya. Pada tahun 1986, Lat menjadi kartunis pertama yang mempamerkan karya-karyanya di Muzium Negara, Kuala Lumpur; acara itu menarik seramai 600,000 pengunjung dalam masa dua bulan. Beliau mendapat layanan selebriti, manakala watak-watak kartun ciptaannya menghiasi setem, buku panduan kewangan, dan kapal terbang. Apabila majalah Reader's Digest meminta pembaca di Malaysia untuk menyenaraikan yang mana antara 50 orang ternama tempatan yang paling dipercayai mereka pada tahun 2010, Lat menduduki tangga keempat. Menurut Jaafar, "100% rakyat Malaysia menghormati dan mengagumi Datuk Lat, dan melihat sentuhan kemalaysiaan sama ada beliau melukis anggota polis, guru mahupun pelacur."